26.1.12
Hadiah Hari Natal
Hari Natal yang lalu, aku ada menerima satu hadiah.
Satu kotak. Dibungkus kemas, diriben ketat-ketat, cantik-cantik.
Aku belek-belek hadiah itu, Goncangnya juga. Kurios.
Bunyinya kosong, tanpa pembayang apa gerangan yang bersembunyi dalam kotak itu?
Tapi kotaknya, ya Tuhan; maha berat
Akhirnya aku jadi merenung kotak itu.
Mengagumi cara balutan riben, padanan rona kertas pembungkus dan riben.
Dan kembali merenung kotak itu, lama-lama lagi.
Genap tiga puluh hari sudah; kotak itu masih di situ. tak disentuh, mahu digugah. masih belum dibuka.
Sekiranya haiwan kecil yang dijadikan hadiah mengisi kotak itu, nescaya sudah lama jadi bangkailah ia.
Aku renung kotak itu buat kesekian kalinya.
Dan lalu sewenang-wenangnya kuriositi aku tak dapat lagi dibendung.
Aku benar-benar ingin tahu isi kandungan kotak itu. Hati menggelodak ingin tahu isinya.
Berdebar-debar aku jadinya. Berhati-hati aku rungkai ribennya.
Berdebar-debar, dibuka pula bungkusnya.
Berdebar-debar, dan dibuka kotaknya.
Terpaku.
Termenung canggung aku seraya melihat isinya.
Ditutup kembali kotak itu, aku hela nafas panjang.
Terpaku dan terduduk aku.
Aku alihkan pandangan ke luar jendela.
Apa hari mahu hujan?
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Walau macam mana sekalipun, aku kena hadapinya juga.
Yakin pada upaya, kudrat dan ketabahanku;
Aku gagahkan diri membuka kotak itu semula.
Yang aku temui dalamnya,
sama seperti sebelumnya.
{kosong}
Kotak itu berisi kosong.
Kosong - Kekosongan yang menjilati segenap penjuru kotak.
Sehelai nota kecil, itu sahaja yang dapatku temukan dalam kotak itu.
Kuamati tulisan itu - aku kenal larih coretannya.
Tulisan tangan seseorang pernah mengunci hatiku.
dan nota itu cuma bertulis ringkas, memperihalkan perkara yang tidak aku nafikan,
bakal merubah cara aku meilhat dia, melihat dunia dan melihat eksistensi kami.
Dan pada nota itu, tercoret cuma sebaris ayat,yakni:
"Imagination is God's greatest gift to mankind"
No Responses
Post a Comment